top of page
Search

Surat untuk PMX

Andai patah sayap rajawali, Bertongkat jua hamba kemari; Bukan untuk mencari calon isteri, Tetapi untuk kita sama-sama menghayati dan mendalami mauduk bicara yang berbunyi rintihan hati seorang rakyat jelata. Assalamualaikum dan selamat sejahtera, nama diberi Muhammad Raphael Naufal bin Mohd Nasir. Berasal dan menetap di Rawang, kini sedang melanjutkan pelajaran di SMK Bandar Tasik Puteri. Tahun ini, saya telah memasuki pelbagai aktiviti seperti Johan Mengarang Cerpen Bahasa Melayu, Johan Poetry Recitation, Conductor dalam pasukan Choral Speaking, Tempat ke-3 aktiviti PPDA White Challenge dan saya juga mewakili sekolah dalam pertandingan Scrabble di peringkat daerah dan negeri. Harapan saya supaya saya agar saya dapat menyambung pelajaran di sekolah idaman saya iaitu di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Perak.

Sebagai pembuka wacana, saya ingin meluahkan keluhan di dalam lubuk hati saya sepanjang Dato’ mentadbir negara selama 8 bulan. Antara perkara yang kurang memberangsangkan semasa Dato’ memerintah negara ialah luasnya kemaksiatan yang berlaku di negara. Hujahnya, The 1975 yang melakukan aksi tidak senonoh semasa melakukan konsert tidak menghormati majoriti umat-umat islam di negara kita. Kesannya, anak-anak muda juga akan terkesan terutamanya golongan remaja dikhuatiri akan terjebak dalam perkara-perkara ini. Jelaslah bahawa Dato’ perlu memantau dan membanteras golongan-golongan yang membawa ideologi LGBT dan sewaktu dengannya sebelum nasi menjadi bubur.

Dalam sektor sekolah pula, peruntukan RM70,000 untuk membaiki tandas sekolah tidak memberi apa-apa kesan. Tandas sekolah masih kotor dan berbau kerana remaja-remaja kini yang tidak tahu erti tanggungjawab. Harapan saya agar Dato’ dan ahli kerajaan Dato’dapat membuat inisiatif untuk membanteras masalah tandas di sekolah sebelum cuka merosakkan madu.

Tambahan pula, Dato’ seharusnya menyalurkan lebih banyak bantuan terhadap golongan-golongan yang kurang berkeupayaan. Banyak peruntukan perlu dikeluarkan untuk membiayai bayaran di sekolah terutamnya set uniform kokurikulum yang amat mahal. Berdasarkan pengalaman rakan saya yang menetap di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), yuran sekolah amat mahal. Tamsilnya, duit dipakai untuk membeli Ipad sebagai modul pdpc. Walhal kos untuk membiayai pelajaran anak-anak di asrama yang tinggi sangat membebankan ibu bapa yang bekerja keras siang dan malam. Jelaslah bahawa Dato’ perlu mempertimbangkan suara kami, walaupun kami masih belum boleh mengundi, namun kelakuan Dato’ boleh menjejaskan masa depan negara. Janganlah kita terlibat dengan rasuah dan mementingkan diri sendiri ibarat melukut di tepi gantang.

Tuntasnya, Dato’ perlulah meyakinkan anak bangsa terhadap inisiatif kerajaan. Kita tidak tahu saat kita berada di atas atau berada di bawah, kerana kehidupan kita ibarat roda. Setiap perbuatan yang kita lakukan akan disoal oleh Allah SWT, janganlah kita menjadi berdusta terhadap satu sama lain. Harapan saya agar Dato’ dilembutkan hati dan mengikut jalan yang lurus berlandaskan syariat Islam.


(Tulisan ini merupakan daripada pemenang Pertandingan Menulis Surat untuk PMX, adik Muhammad Raphael Naufal)



2 views0 comments

Comments


bottom of page