"Belajar adalah tindakan kreatif yang memungkinkan untuk pertanyaan lebih lanjut." Paulo Freire
Pendidikan di dalam bilik darjah harus dilanjuti dengan pertanyaan yang memperkembangkan idea peserta didik. Itulah antara gagasan besar yang ingin diujarkan oleh seorang tokoh intelektual yang banyak memunculkan wacana kritis pendidikan, Paulo Freire.
Guru tidak sewajarnya menjadikan pendidikan sebagai proses guru bertanya dan murid menjawab atau menjelaskan topik pembelajaran semata-mata. Walaupun hal tersebut mempunyai manfaat dan kebaikan juga dalam proses pembelajaran, usaha memperkembangkan daya pemikiran peserta didik dengan menggalakkan mereka mencipta pertanyaan lanjut tidak boleh ditinggalkan. Hal ini kerana, pertanyaan merupakan proses yang filosofis sifatnya. Dimana, peserta didik dapat memperkembangkan pemahaman mereka serta imajinasi intelektual yang lebih tajam dan kritis.
Di bilik darjah, saya sering menggunakan kaedah menggalakkan para peserta didik untuk bertanya mengenai hal yang berkait dengan topik yang sedang dipelajari. Apabila kaedah ini sedang dilaksanakan, peraturan yang harus seorang guru pegang dan patuhi adalah tiadanya soalan yang salah atau bodoh. Tindakan meremehkan pertanyaan peserta didik dapat menganggu motivasi dan keinginan para peserta didik untuk berpartisipasi dalam sesi soal-jawab yang sedang kita laksanakan.
Jika kita melihat kembali tradisi falsafah silam yang telah dibangunkan oleh Socrates, seorang tokoh filsuf yang masyur, beliau menggunakan kaedah bertanya untuk membawa para muridnya kepada kesimpulan yang benar dan tepat. Kaedah ini juga, digunakan oleh Socrates agar wacana yang bersifat dialektika dapat berlangsung. Dimana, dialektika ini tidak hanya senjang pada tesis yang sama kerana adanya gugatan anti-tesis yang pada akhirnya menggalakkan pengwujudan sebuah idea yang berasimilasi menjadi satu yang disebutkan sebagai sintesis.
Paulo Freire dalam karya beliau yang terkenal “Pedagogy of The Oppressed” amat menekankan peranan pengwujudan oleh guru terhadap diskusi yang kritis wujud. Hal ini akan memperdalam kefahaman dan pemikiran mereka mengenai sebuah topik pembelajaran yang sedang dihidangi kepada mereka.
Selain itu, apabila diwujudkan kaedah diskusi kritikal ini, proses pembelajaran dapat diluaskan skopnya dari buku teks ke dunia yang sebenar. Pengalaman empirikal para peserta didik turut dapat dihidupkan apabila mereka menyelaminya dengan dalam. Bagi Freire juga, diskusi kritikal yang menggalakkan pertanyaan kritis ini akan mengartisipasi perasaan peserta didik terhadap apa yang dipelajari, dan ini akan membantu peserta didik dapat membawa rumus dan fakta yang diterima ke arah yang lebih bermanfaat dan praktikal.
Oleh itu, para guru harus menerapkan kaedah pertanyaan kritis dalam diskusi kritikal yang sedang dilangsungkan. Terdapat banyak pedagogi yang kreatif yang dapat disulami dengan proses pertanyaan kritis peserta didik. Melalui kaedah ini juga, penghargaan terhadap pemikiran dan nilai kritis yang ada dalam diri peserta didik akan lebih dihargai oleh guru. Malah, guru dapat melihat sisi penilaian yang lebih subjektif dan adil buat peserta didik berbanding hanya menilai menggunakan angka markah ujian yang terlalu objektif sifatnya.
Izzat Dahelan merupakan seorang individu yang aktif bekerja di ruang advokasi pendidikan bersama Teach For Malaysia. Pernah terlibat bersama rakan dalam kerja advokasi pendidikan alternatif untuk kanak-kanak tidak berdokumentasi di Sabah.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Izzat Dahelan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Arkin Cahaya)
Comments