top of page
Search

Pendidikan (bukan) Untuk Semua!


Siapa yang memulakan ungkapan pendidikan untuk semua? Adakah ianya organik dan tersembur keluar daripada kerongkong rakyat? Ke muka dan dahi siapakah ianya ditujah dan seharusnya ditunjal-tunjal? Apakah negara kita sedang dikemudi oleh manusia konyol yang lupa bahawa pundaknya sedang terbeban mandat rakyat?


Kita menjadi gusar apabila busur-busur panah yang kita tembak tepat ke dada gerombolan pemerintah hanya menggelikan namun tidak melukakan. Kebal dan handal para pendekar politik kita. Rakyat yang bermati-matian melunaskan kerja pemerintah- kerja memberi pendidikan, kebajikan dan pemberdayaan. Setelah berlelah letih, kita perlu menghadap segala macam sepak terajang intimidasi kerana diwaspadai dan dituduh subversif.

Apakah kita mempersiapkan generasi lunyai, kangkung dan lembik untuk masyarakat pada masa hadapan? Bertitik tolak daripada semua ini pastilah kita akan menoleh ke belakang, melihat kefasadan yang menanah dalam pendidikan kita hari ini- bersorak namun tidak memihak.

Negara bukan perkakas politik pemerintah. Ianya adalah rumah bagi merayakan kerencaman dan kepelbagaian. Justeru, kerja mendidik rakyat agar menjadi tuan di rumahnya sendiri dan menyedari bahawa setiap inci penjuru rumahnya adalah kepunyaannya tanpa menafikan hak kepemilikan orang lain.


Maka, wacana pendidikan tidak seharusnya dibiar terus-menerus mencair dalam hal teknikal yang ruwet sehingga tertanggal daripada sarung manusiawi yang sepatutnya menjadi perisai utama mendepani kejahilan kolektif yang dianuti oleh manusia jadong dalam negara ini.


Pendidikan milik siapa?

Ketika KPM- nakhoda yang mengendali sistem pendidikan arus perdana dalam negara menafikan data keciciran murid yang didedahkan oleh Untuk Malaysia iaitu seramai 100,000, kita di Sabah masih lagi membilang-bilang jari, berapa puluh ribu anak-anak rentan di sini yang belum pandai mengasah pensil?


Mengapa pendidikan tidak menyapa anak-anak yang diabaikan dan dinafikan pendidikannya angkara kerumitan dan keputusan pemerintah yang tidak memihak? Sekiranya pendidikan ini malaikat, mengapa kepaknya tidak menjadi lembayung yang melindungi para murba yang buta huruf dan terpinggirkan?

Kerajaan yang meniup slogan Madani pada corong sangkakala pemerintah dalam negara ini seharusnya memaksa dan mengheret pendidikan keluar daripada terowong elit yang ekslusif agar ianya benar-benar menjadi misi menyelematkan anak bangsa tanpa prejudis dan melihat anak-anak rentan sebagai kudis-kudis yang kotor, busuk dan jijik.Bagi mempersiapkan negara ke arah masyarakat Madani yang utuh, toleran dan cemerlang, kita harus bersedia untuk berjalan bersama dan menamatkan pengabaian yang sudah menjadi rahsia umum dan kemelut kemanusiaan yang tidak menemukan sifir solusi yang konkrit.

Di bawah, rakyat sedang melihat malapetaka yang tidak dibendung apabila anak-anak rentan- di Sabah- terutamanya masih bergolok bergadai mencari ruang selamat untuk mengenal aksara. Bersekolah semacam dosa apabila gerak mereka diwaspadai, sentiasa merasa terancam dan tiada akses untuk bermain sebagai inisiatif psikososial yang seharusnya dimiliki oleh semua kanak-kanak di dunia.


Rentan bukan tercicir namun diabaikan!

Sabah adalah wilayah yang paling kelam kabut dalam negara apabila ia berdepan dengan pertukaran kerajaan yang kerap sekaligus berhadapan dengan sesetengah pemuka politik samaada daripada blok pemerintah atau pembangkang- yang prejudis, dangkal dan rigid.


Isu pengabaian pendidikan tidak lagi sekadar analisis keciciran kerana sekolah yang sedia ada juga tidak mampu menampung anak-anak tempatan untuk mendapatkan pendidikan. Kefasadan sosial yang memenuhi sfera publik telah menjadi nanah yang merosakkan seluruh tubuh pembangunan dalam wilayah ini.

Jalan raya yang rosak, jambatan yang usang, air yang kotor, pembangunan yang dimonopoli oleh kapitalis tamak, projek-projek infra yang dilobi oleh biawak politik serta pemaju-pemaju yang tidak menanggung obligasi dengan jujur.

Anak-anak rentan di Sabah masih tidak menemui bilangannya yang tepat. Sejak 2016, kerongkong dan mulut rakyat berbuih bercakap tentang hak berpendidikan komuniti rentan di Sabah. Ianya semacam fenomena yang masuk ke telinga kanan dan keluar daripada tengkuk pemerintah. Isu dokumentasi, pendataan dan pemetaan, serta penyelesaian yang komprehensif seharusnya datang daripada pembikin dasar dan polisi yang telah dipilih rakyat.

Ianya kerja yang tidak boleh dilengah-lengahkan memandangkan kita sentiasa berhadapan dengan ahli politik rakus yang dibelit iblis untuk sentiasa mendampingi kuasa dan membelakangkan misi manusiawi sebagai pemimpin manusia.

Rakyat sedang menyimpul dan menjahit koyak yang berlaku di bawah. Perubahan telah ditukang daripada bawah. Ianya adalah simbolik tidak percaya bahawa perubahan datang dariapada atas. Ianya tidak akan turun mengotorkan kaki dan tangan. Apa yang di atas, kekal di atas. Rakyat harus mengambil tombak dan menjoloknya agar jatuh tergolek menyembah tanah.


Tentang Penulis: Rien Sd atau Asrin Utong adalah advokator pendidikan alternatif untuk anak-anak rentan. Bekerja dalam sektor impak sosial, penulis serta penganalisis lapangan terkait isu politik dan sosial di Sabah.


(Artikel ini adalah tulisan saudara Rien SD dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Arkin Cahaya)

6 views0 comments

Comments


bottom of page