top of page
Search

MERDEKARIA TAMPIL BAKAT ANAK-ANAK TANPA NEGARA


SANDAKAN, SABAH: Cahaya Society dengan Kerjasama Kelab Alumni Cahaya menganjurkan Pesta Merdekaria 2024 pada 29 September 2024 di Sanbay Hotel, Sandakan. Ini adalah penganjuran ketiga sejak tahun 2022.

Pesta Merdekaria adalah acara istimewa merayakan hari kemerdekaan dan kebangsaan serta usaha dan inisiatif memperingati kerja nenek moyang kita di tanah air ini menukang pembebasan dan kemerdekaan dengan jiwa raga mereka.



Tahun ini, tujuh (7) buah sekolah alternatif dan swasta melibatkan diri dalam empat kategori pertandingan; Koir Merdeka, Sajak Merdeka, Cerita Rakyat dan Lakrya. Antara yang bersama-sama memeriahkan pesta tahun ini ialah Sekolah Sri Wawasan, SAR Al-Azhar, SAR Ikhlas Bakti, Pusat Alternatif Cita Budi, Pusat Alternatif Teratak Ilmu, Pusat Pembelajaran Cahaya, dan CLC Kuari 3 (Sekolah Indonesia).


Majlis ini telah menampilkan dan bakat anak-anak tanpa negara daripada pelbagai Pusat Pembelajaran Alternatif dalam acara yang sarat nilai patriotisma dan cinta negara. Persembahan mereka telah membuktikan semangat kebersamaan dan impak pendidikan dalam membentuk identiti rakyat yang setia dan cinta kepada negaranya.


Cahaya Society percaya sepenuh hati kepada usaha advokasi pendidikan sebagai jalan membentuk karakter yang mampu memberi jiwa dan raganya untuk kesejahteraan negara Malaysia. Merdekaria adalah salah satu daripada banyak lagi bentuk persembahan rasa, kasih dan kesetiaan anak-anak tanpa negara kepada tanah tumpah darah mereka iaitu Malaysia.



Penganjur turut berharap agar acara seperti ini dapat diteruskan dan dilebarkan membabitkan ramai lagi anak-anak rentan yang berada di luar sana. Kudos kepada juri jemputan yang menginspirasikan; Cikgu Syahril (Sekolah Seni Malaysia) dan Cikgu Habsah (SMK Agama) serta penaja rasmi kita Garaj Cahaya dan ASA Enterprise.


Merdeka untuk semua!

14 views0 comments

Comments


bottom of page