top of page
Search

Kecerdasan Buatan Pemangkin Primer Dalam Menggapai Malaysia Madani

Memetik bait-bait daripada sesi temu bual John McCarthy, ahli sains yang telah mencipta istilah ’artificial intelligence’ atau kecerdasan buatan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.


Beliau mengatakan "jika ia mengambil masa 200 tahun untuk menghasilkan kecerdasan buatan, dan adanya buku teks berkaitan bagaimana teknologi tersebut berfungsi, aspek yang paling susah untuk ditulis dalam buku teks tersebut adalah tentang mengapakah manusia dahulu tidak terfikir untuk menciptakan kecerdasan buatan?” Kata-kata yang berpegang pada hakikat, betapa kecerdasan buatan merupakan azimat untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat sejagat.


Maka, kecerdasan buatan ini sebenarnya dapat dijadikan pemangkin primer dalam menggapai Malaysia lebih madani. Meninjau dari skop yang lebih luas, perbincangan ini mengajak kita untuk melihat fungsi hakiki kecerdasan buatan dapat menangani isu -isu baharu dan ketidakpastian pembangunan negara. Kecerdasan buatan mempunyai kelebihan-kelebihan yang dapat membantu kerajaan untuk memajukan negara dengan mengambil kira aspek manusiawi pada setiap langkah.


Usaha untuk memperkenalkan kecerdasan buatan sememangnya selari dengan enam nilai teras Malaysia madani iaitu, kemampuan, hormat, kesejahteraan, keyakinan, daya cipta, dan ihsan.


Antaranya ialah memperkasakan sektor perubatan untuk meringankan beban bahu rakyat terutamanya pekerja – pekerja am di Malaysia. Keupayaan kecerdasan buatan untuk memproseskan data dalam kuantiti yang besar sememangnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sektor perubatan negara. Menurut artikel daripada National Library of Medicine, pakar perubatan menggunakan 49 peratus daripada masa mereka di ofis dengan menyelak rekod-rekod digital pesakit. Oleh hal yang demikian, kecerdasan buatan boleh membantu dalam meringankan kertas kerja para doktor sekali gus meningkatkan jumlah masa yang digunakan bagi mendiagnosis pesakit. Selain itu, Syarikat International Business Machines Corporation (IBM) telah menghasilkan Watson Health yang dapat mengesan gejala awal penyakit jantung dan kanser. Hal ini dikatakan demikian penting dek kerana dua perkara iaitu proses untuk mengesan penyakit-penyakit ini dan seterusnya kadar penyembuhan bagi penyakit-penyakit ini lebih tinggi jika dirawat pada peringkat yang awal. Dengan itu, wajarlah untuk tanah air kita mengadoptasikan kecerdasan buatan kerana kebolehan teknologi ini untuk mempermudah tugas para doktor justeru meningkatkan taraf sektor perubatan negara.


Dari kaca mata yang lain, kecerdasan buatan mampu menjadikan sektor pendidikan bertambah mutu justeru rakyat sejagat mudah menambah ilmu. Mutakhir ini, jelas bahawa penggunaan kecerdasan buatan dalam sektor pendidikan semakin meningkat. Antara kelebihan utama kecerdasan buatan ialah sebagai alat pembelajaran yang adaptif dan khusus bagi setiap individu. Tamsilnya, teknologi ini menggunakan algoritma pembelajaran mesin untuk menganalisis prestasi pelajar dan mengadaptasikan kandungan serta kesukaran bahan pembelajaran berdasarkan analisis tersebut. Kecerdasan buatan juga dapat membantu para pendidik untuk merekod kemajuan pelajar-pelajar, menghasilkan jadual pengajaran yang seimbang, dan mengurangkan kerja admin seperti menyelaras aktiviti-aktiviti di sekolah dan memproses permohonan pelajar. Oleh sebab itu, para guru dapat mengurangkan masa yang diluangkan untuk menguruskan kertas kerja dan menggunakan masa itu untuk mengajar pelajar. Maka, benarlah kecerdasan buatan mempunyai potensi untuk menggerakkan sektor pendidikan di negara kita untuk menjadi lebih inklusif dan fleksible malah mencapai tahap yang bertaraf antarabangsa.

Lain daripada itu kelestarian bumi dapat dikekalkan dan kebajikan rakyat dimaksimumkan pada tahap yang lebih tinggi juga kepentingan kecerdasan buatan dalam menggapai Malaysia madani. Golongan inteligensia dalam bidang sains mula menggunakan kecerdasan buatan untuk mengambil kira elemen-elemen iklim yang sentiasa berubah. Senario ini dapat membantu mereka membuat keputusan awal yang lebih tepat dan mengambil inisiatif awal untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.


Menurut kajian Congressional Research Service, dari tahun 2013 hingga tahun 2022, min kebakaran hutan yang berlaku ialah 61,410. Fenomena ini telah menyebabkan kemusnahan hutan, kepupusan flora dan fauna, serta kehilangan nyawa. Oleh hal yang sedemikian, ahli sains telah menghasilkan Pano AI yang menggunakan satelit untuk mengesan tanda-tanda awal kebakaran hutan. Tindakan ini dapat mengurangkan masa untuk melaporkan kejadian kebakaran hutan supaya pasukan tindakan kecemasan dapat memadamkan api sebelum api merebak ke seluruh hutan dan menjadi sukar untuk dikawal.


Pendek kata, kecerdasan buatan mampu membantu manusia untuk menangani isu kebakaran hutan yang rutin berlaku dasawarsa ini. Lontaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa kecerdasan buatan dapat dimanfaatkan di negara kita untuk memelihara keindahan alam sekitar bahkan menjaminkan kesihatan serta kebajikan rakyat.

Kita mengakui hakikat bahawa peribahasa Melayu ada mengatakan lain hulu lain parang,dulu lain sekarang lain. Rentetan yang sungguh mengecewakan ialah negara kita kurang mengadoptasikan kecerdasan buatan sebagai langkah baharu untuk memajukan negara. Realitinya, negara kita perlulah meluaskan horizon pemikiran dan menjadi lebih terbuka untuk menerima serta mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan jika kita sememangnya hendak mencapai matlamat untuk membangun Malaysia yang lebih madani. Utuhnya dengan uslub ini nama tanah air kita akan menjadi dominan di persada dunia.

(Esei ini adalah tulisan saudara Mardianto bin Hamid dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Arkib Cahaya)

1 view0 comments

Comments


bottom of page