top of page
Search

Esei | Adat Perkahwinan Masyarakat Suku Kaum Bugis di Sabah

Perkataan “Bugis” berasal dari kata To Ogi yang bermaksud orang Bugis. Kaum Bugis terdiri daripada beberapa jenis antaranya Bone, Rappang, Pinrang, Endrekan, Simpo dan banyak lagi. Pada umumnya, orang Bugis dikenali sebagai masyarakat yang tinggal di Sulawesi Selatan. Beberapa daerah menjadi tempat tinggal orang Bugis, antaranya adalah Bone, Luwuk, Wajo, Bulukumba, Soppeng,Rappang, Enrekan dan Makassar.


Walaupun mempunyai pelbagai jenis namun mereka tidaklah mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Perbezaan berlaku disebabkan mengikut nama tempat mereka contohnya Bugis Rappang berasal daripada Rappang, Makassar.  Orang Bugis dikenali sebagai pengarung lautan. Terdapat sebahagian dari pada etnik Bugis ini singgah dan ada juga yang menetap di pelbagai daerah di Nusantara antaranya Malaysia. Kini di Malaysia, masyarakat bugis telah berada di beberapa Kawasan seperti Johor dan Sabah. Penduduk bugis di Sabah pula majoriti berada di bahagian daerah Tawau dan Lahad Datu tetapi juga terdapat dibeberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Beluran dan banyak lagi.


Kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan pelbagai jenis adat dalam sesuatu perkara contohnya dalam perkahwinan. Masyarakat kaum bugis, mereka mempunyai kepelbagaian adat dan pantang larang dalam perkahwinan yang diikuti daripada nenek moyang mereka.

.

1. Majlis Merisik

Antara adat yang masih mereka amalkan adalah adat dalam majlis merisik di mana pihak lelaki menghantar wakil seperti ibu, ayah, atau sesiapa yang dipercayai untuk bertanya berkaitan perempuan yang ingin dikahwini kepada keluarga pihak perempuan. Selain itu, pihak lelaki juga perlu membawa beberapa barangan seperti duit sebanyak RM50 sebagai tol, daun sirih beserta rokok sebagai “pembuka mulut” iaitu tanda untuk memulakan perbualan, cincin sebagai tanda ikatan jika risikan diterima kerana bagi kaum Bugis mereka tidak terikat dengan nama pertunagan tetapi jika risikan diterima maka perempuan tersebut terikat dengan ikatan untuk berkahwin. Semasa dalam merisik, pihak keluarga lelaki dan perempuan juga akan berbincang berkaitan beberapa perkara seperti tarikh-tarikh penting dan membuat rundingan duit hantaran sebagai perkara utama yang perlu pihak lelaki sediakan semasa majlis naik duit.


2. Majlis Naik Duit

Untuk peringkat yang kedua adalah majlis naik duit atau dipanggil sebagai “mapendre doik” yang bermaksud mapendre adalah menaikkan manakala doik membawa maksud duit. Majlis ini diadakan selang dua atau ketiga bulan selepas majlis merisik. Sebelum majlis dijalankan pihak lelaki perlu menyediakan jumlah duit hantaran mengikut sepakat perbincangan yang dilakukan bagi kedua belah pihak semasa majlis merisik. Untuk pengetahuan umum, kaum bugis adalah salah satu kaum yang mana meletakkan duit hantaran yang agak tinggi berbanding kebiasaan masyarakat kita.


Hal ini adalah bertujuan untuk melihat kesungguhan dan kemampuan seorang lelaki untuk mengahwini anak perempuan mereka. Semasa majlis berlangsung, wakil pihak lelaki perlu membawa duit hantaran secara tunai dan diberi kepada wakil rumah perempuan. Seterusnya, wakil perempuan tersebut perlu mengira duit tersebut dan mengikut adat mereka. Setelah duit dikira, wakil tersebut perlu mengambil beberapa helai dan masukan kedalam talam yang berisi beras, kayu manis, duit syiling dan buah pala lalu digaul menggunakan dua senduk kayu. Perkara ini dilakukan adalah mengikut amalan atau adat nenek moyang mereka sebagai tanda untuk memeriahkan majlis naik duit.


3. Majlis Malam Berinai

Peringkat yang ketiga pula adalah majlis malam berinai iaitu dilakukan malam sebelum majlis nikah. Majlis malam berinai dilakukan bagi calon perempuan merasakan kebebasan sebelum menjadi isteri orang. Bakal pengantin juga perlu memakai pakaian adat bugis yang dipanggil sebagai baju bodo’ bagi menghormati adat mereka. Majlis tersebut dimulakan dengan barsanji atau nama lainya berzanji yang diketuai oleh puang iaitu seseorang yang terhormat dalam keluarga besar mereka dan diiringi oleh ahli-ahli masjid.


Selepas itu, aktiviti merinjis akan dilakukan oleh saudara mara yang berpasangan seperti suami dan isteri. Tangan bakal pengantin perempuan akan diletakkan di atas kain batik yang disusun sebanyak 12 helai dan daun nangka sebagai lapis. Setelah selesai aktiviti merinjis, bakal pengantin akan diarah untuk mandi dengan campuran air bunga yang telah dicampur dengan kayu manis bertujuan untuk menaikkan seri pengantin pada hari pernikahannya.


4. Majlis Pernikahan

Akhir sekali adalah menuju kepada tujuan utama iaitu majlis pernikahan. Dalam majlis pernikahan ini terdapat beberapa lagi adat yang perlu mereka laksanakan sebelum bergelar sebagai suami isteri. Sebelum akad nikah berlangsung, pihak lelaki perlu membawa walasoji iaitu buluh yang dibentuk menjadi bakul dan diisikan dengan buah kelapa, nangka, pisang, tebu, gula melaka dan sepasang ayam hidup diberikan kepada wakil rumah pihak perempuan. Selain itu, pihak lelaki juga perlu menyediakan 12 jenis kuih dijadikan sebagai tambahan barang hantaran. Setelah majlis akad nikah berlangsung, pihak perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik dan pintu bilik akan dikunci lalu dijaga oleh penjaga pintu iaitu selalunya adik beradik kepada pengantin perempuan. Pihak lelaki perlu membayar tol sebelum masuk ke dalam bilik bagi acara membatalkan air wudhuk. Jumlah tol adalah ditetapkan mengikut budi bicara penjaga pintu. Jika penjaga pintu bersetuju dengan nilai tersebut, maka pintu akan dibuka dan acara membatalkan air wudhuk akan dilakukan dengan bersalaman antara pengantin lelaki dan perempuan. 


Kebanyakan adat perkahwinan masyarakat suku kaum bugis ini masih lagi dilakukan di zaman kini. Walaubagaimanpun sebagai orang islam, kita perlu memastikan adat yang dilakukan tidak bertentangan dengan syariat islam. Apabila adat yang dilakukan tidak bertentangan dengan syariat islam atau menyerupai agama lain, maka adat tersebut masih boleh dilakukan. Sehubungan itu juga, sebagai seorang muslim adalah perlu untuk memudahkan sesuatu perkara yang baik agar mudah untuk dilaksanakan. Contohnya dalam adat perkahwinan ini, jika pihak lelaki kurang berkemampuan untuk melakukan adat tersebut adalah perlu dikurangkan atau dipertimbangkan agar urusan menjadi lebih mudah.


(Esei ini ditulis oleh saudari Aslina binti Seraila, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia).



199 views0 comments

Comments


bottom of page