top of page
Search

Bayangan Tanah Air

Langit senja memeluk Kuala Lumpur dengan sentuhan jingga dan ungu yang memukau. Di sebalik megahnya Menara Warisan Merdeka, tersembunyi dunia yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa. Di markas rahsia di bawah bangunan Menara Warisan Merdeka, terdapat sekelompok kumpulan yang bergerak dalam bayangan, para ejen rahsia bekerja untuk memastikan keamanan tanah air.


Fatimah, itulah nama salah seorang ejen di markas itu. Penampilannya yang cantik lagi sopan menutupi profilnya yang luar biasa. Fatimah merupakan ketua bagi kumpulannya yang juga merupakan kumpulan ejen terbaik di Malaysia. Di dalam kumpulan yang bernama A31, terdapat tiga orang ejen yang sering berganding bahu untuk menyelesaikan misi yakni Ejen Farah, Ejen Ahmad dan Ejen Asyraf. Keintelektualan yang digunakan bagi menjayakan misi membuatkan mereka digelar sebagai“ Bayangan Yang Melindungi Tanah Air”.


***


Raja malam menguasai ruang langit menandakan hari sudah malam. Semua jiwa pastinya sudah berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing setelah hampir seharian berkerja demi mendapatkan sesuap nasi. Tetapi tidak pula bagi ejen-ejen rahsia. Mereka masih berkerja keras demi menjayakan suatu misi yang mungkin agak rumit bagi mereka.


Sekumpulan PATI telah menceroboh negara dan berniat untuk melakukan kehancuran di tanah yang bertuah ini! Menurut laporan rahsia yang perolehi, kumpulan berhati kesumat yang bersenjatakan F2000 Rifle Assault sedang melakukan persiapan di sekitar Pelabuhan Klang.


Setelah dua jam berbincang, mereka mengambil keputusan yang mungkin agak berisiko. Tetapi apakan daya, demi negara mereka sanggup mengorbankan diri mereka untuk menerjah markas pengganas pada malam itu juga. Pertarungan pastinya sengit.


***


“Anda telah sampai ke destinasi.” GPS tiba-tiba bersuara menarik perhatian mereka. Mereka berpakaian serba hitam untuk mengelakkan dikesan oleh musuh. Langkah diatur dengan cermat dan akhirnya mereka tiba di markas yang dituju. Kelihatan dua orang musuh sedang tidur di depan pintu gerbang markas. Ejen Fatimah mengingatkan semula tentang rancangan mereka. Dengan semangat cinta akan negara, mereka memulakan langkah laju memasuki ke dalam markas itu. Siapa sangka langkah mereka yang bagaikan seorang hulu-balang Melayu tidak disedari oleh penjaga pintu gerbang! Mereka berjaya memasuki markas kumpulan pengganas yang ingin menghancurkan ibu pertiwi.


Kaca mata khas cukup membantu mereka bergerak pantas dalam kelam malam. Setelah hampir 15 minit mencari, akhirnya mereka berjaya menjumpai bilik penyimpanan senjata api. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati banyak senjata yang tidak dinyatakan dalam laporan sarat dalam bilik tersebut. Lantas mereka segera mengambil gambar sebagai bahan bukti untuk dihantarkan kepada pihak polis.


Tiba-tiba, penggera berbunyi. Mereka cuak dan cuba melarikan diri. Malang tidak berbau. Pintu bilik itu tiba-tiba ditutup dengan keras. Mereka terperangkap bagaikan tikus di dalam perangkap!


Bunyi berderap langkah kaki yang berlari menghampiri mereka, memenuhi ruang yang penuh ketegangan. Pintu dibuka dengan tendangan.


“Jangan bergerak! Kalau tak aku tembak!” suara lelaki yang garau mengugut supaya tidak bergerak sambil menyasarkan senjata api ke arah mereka. Mereka menoleh ke arah empunya suara sambil membuka kaca mata malam. Rupa-rupanya, itulah ketua kumpulan yang berhati hitam!


"Siapa kalian?" Lantang suara ketua berhati hitam dalam loghat negara jiran. Dengan pandangan tajam dan hati yang berani, Ejen Fatimah menjawab”Kami adalah bayangan yang melindungi tanah air, kami datang ke sini untuk menghentikan rancangan buruk kamu”.


Ketua kumpulan itu tertawa sinis. "Coba tebak lagi, 'bayangan'. Kalian telah jatuh ke dalam perangkap kami. Kalian pikir kalian bisa masuk begitu saja dan mengungkapkan rahasia kami? Kami telah mengetahui rencana kalian dari awal."


Para ejen memandang antara satu sama lain Memek muka mereka langsung tidak menzahirkan rasa putus asa. Dalam keadaan seperti ini, mereka tahu hanya dengan cendekiawan dan kerjasama yang padu mereka sahaja boleh menyelamatkan mereka.


Dengan isyarat yang pantas, mereka berpecah dan bergerak bagaikan harimau bintang bagi mengalihkan perhatian lelaki itu. Alangkah tidak diduga, lelaki itu lebih cekap dan melepaskan das tembakkan ke arah salah seorang perjuang negara, memaksa mereka bersembunyi di sebalik perabot besi. Ketua kumpulan, Ejen Fatimah terus menghantar isyarat kecemasan kepada hub untuk meminta bantuan. Dengan sepantas kilat, isyarat itu diterima dan pasukan polis dan ambulan terus dihantar ke lokasi tersebut. Mereka cuba membalas tetapi apakah daya, ketua kumpulan itu lebih tangkas melepaskan tembakan.


Potensi untuk hidup seperti tiada harapan pabila hentakan kaki yang ramai mendekati mereka. Namun itu bukan perkara yang membuatkan mereka untuk berputus asa. Pada saat ketegangan itu, mereka menggunakan kreativiti untuk mencari peluang keluar. Mereka melihat tingkap kecil terbuka luas di satu sudut bilik. Dengan pantas, mereka merangkak keluar seorang demi seorang. Ketua kumpulan itu menyedari rancangan mereka dan cuba menghalang. Ketangkasan dan semangat berpasukan membuatkan semua ejen berjaya melepasi tingkap kecil itu. Di atas bumbung markas kumpulan itu, mereka cuba turun untuk melarikan diri. Sesampai di atas tanah mereka terus berlari mencari tempat berlindung.


Pom!


Satu das tembakan dilancarkan dari belakang tepat mengena belakang Ejen Fatimah. Ejen Fatimah rebah menahan sakit. “Fatimah!” Ejen Farah menjerit. Dengan spontan, Ejen Asyraf melemparkan bom asap ke arah pihak musuh. “Farah, kau bawa Fatimah ke tempat selamat. Cuba hentikan pendarahan. Biar aku dan Ahmad selesaikan masalah ini!” Arah Ejen Asyraf dengan penuh rasa amarah.


“Ahmad, jom!” Seru Ejen Asyraf kepada Ejen Ahmad sambil mengeluarkan senjata api

jenis Kalashnikov AK-47.

“Bereh boh!” Jawab Ejen Ahmad sambil mengeluarkan senjata yang sama.


Pom! Pom! Pom!


Mereka saling berbalas tembakan. Asap dan api dari tembakan membuatkan suasana semakin hiruk-pikuk. Ejen Ahmad dan Ejen Asyraf terus bergerak pantas. Sedayanya mengelak peluru musuh sambil membalas tembakan. Dalam pertempuran yang amat sengit itu, bunyi siren polis dan ambulans telah mengubah suasana. Pihak musuh tersentak dan bertindak melarikan diri umpama lipas kudung. Namun usaha mereka menemui jalan buntu. Anggota polis sudah mengepung kawasan di sekitar markas itu. Semua anggota kumpulan pengganas itu berjaya ditangkap. Segala bahan bukti kini berada dalam genggaman pihak berkuasa. Semua ejen tersenyum puas. Usaha kumpulan pengganas untuk menghancurkan ibu pertiwi berjaya ditumpaskan!



---


A. Asyraf

22 views0 comments

Comments


bottom of page